Geng

Wednesday, July 20, 2011

Tribute to Abah

Abah seorang insan yang hebat. Dari zaman mudanya sampailah ke usia 69 tahun kini, pelbagai jenis kerja yang telah beliau lakukan. Nelayan di lautan biru, petani di sawah padi nan hijau, bertukang membuat rumah, menoreh getah di awal pagi dan pelbagai lagi. Nilai yang boleh aku pelajari dari abah aku adalah, beliau tidak pernah merungut dalam melakukan apa jua kerja. Tekun, berdedikasi, bertanggungjawab dan ikhlas. Keempat-empat nilai ini diadunkan bersama menjadikan abahku seorang yang hebat.

Pernah 1 ketika, abah bersama beberapa orang rakannya memelihara kambing. Kambing ini diperolehi melalui skim bantuan yang disediakan oleh pihak Felda bagi membantu peneroka meningkatkan taraf hidup. (part ni aku sokong). Tak silap aku, kambing yang pada awalnya berumlah 70 ekor, lama-kelamaan semakin susut dan susut bilangannya. Masakan tidak, dalam ramai-ramai kawan abah aku ini, ada di kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab. Dilepaskan kesemua kambing di luar reban, lalu kambing-kambing ini bebas meragut rumput dari satu kawasan ke kawasan yang lain, tanpa pantauan.

Sebenarnya, abahku dan rakannya yang lain, menjaga kambing-kambing ini mengikut sistem giliran. Bila tiba giliran abah, abah akan lepaskan dan memantaunya dengan baik. Jika kambing yang dilepaskan dari reban berjumlah 70 ekor, maka yang masuk semula ke dalam reban berjumlah 70 ekor juga. Seperti yang aku sebutkan tadi, ada seorang rakan abah melepaskan kambing-kambing ini (bila tiba giliran beliau), namun dibiarkan sahaja. Hari demi hari, bilangan kambing semakin susut. Manakan tidak, seekor demi seekor tidak kembali ke reban. Hilang entah ke mana. Bila dicari, tinggal tulang kambing sahaja kerana dimakan oleh anjing liar. Ada juga yang hilang entah ke mana.

Daripada 70 ekor, akhirnya tinggal 35 ekor sahaja. Kata sepakat dicapai, abah dan 4 orang rakannya yang lain bersetuju membahagikan 35 ekor kambing ini untuk mereka berlima. Seorang akan memperoleh 7 ekor. Setelah pembahagian selesai, abah membawa kambing ini pulang. Berjalan kaki sahaja. Aku, adik aku ada bersama abah ketika ini. Dapat kulihat wajah abah yang penuh kegembiraan.

Dipendekkan cerita, reban baru siap dibina. Tidak jauh dari rumahku. Abah membinanya 200 meter sahaja dari rumah. Di bawah bukit, tanah di mana telah digazetkan sebagai milik abah dan ahli peneroka blok 15. Disitulah reban kambing abah bina. Aku dan adik beradik yang lain membantu abah. Maklumlah, tanah yang lama ditinggalkan, pokok rambutan di situ semakin meninggi, termasuk juga lalang. Jadi, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah meracun lalang-lalang ini.

Seusai membersihkan lalang-lalang, maka tiba masanya membuat reban kambing. Kayu-kayu untuk dijadikan sebagai tiang reban telah dicacakkan di tanah. Sungguh utuh sekali. Abahku memang hebat. Maklumlah, menukang rumah kerja sambilannya. Di Jengka 21, sebut saja nama abahku, pasti ramai yang mengenali dan tahu abahku hebat bertukang. Lalu, disiapkan pula bahagian atas reban dan bumbungnya. Maka, siaplah 'rumah' 7 ekor kambing ini.

Aku masih ingat lagi, sebelum reban kambing-kambing ini disiapkan, mereka (kata ganti bagi kambing-kambing.) telah diletakkan belakang rumah aku. Kini, mereka ada rumah yang baru. Dan nampaknya mereka menyukainya. embeeekk...embeekk.. embeekk.. Lihat, mereka mengembek mempersetujui apa yang aku katakan.. :)

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, semakin lama semakin bertambah kambing abah. Dari 7 ekor, kini menjadi 70 ekor. Reban kambing yang awalnya ada 2 bilik kini dah menjadi berbelas bilik tidur. Alangkah selesanya kambing-kambing ini. Rumah kos rendah pun tak banyak bilik. Alhamdulillah, abah menjaganya dengan amat berdedikasi. Aku, mak dan adik beradik yang lain sering ke reban kambing melawat kambing-kambing. Mak dan abah pula menggelarkan kambing-kambing ini sebagai cucu. Maklumlah, anak-anaknya ramai yang bermastautin di Kuala Lumpur Selangor. Maka, banyak masa mereka dihabiskan dengan melayani kerenah kambing-kambing ini.

Bagi memastikan kambing-kambing ini sihat, abah seringkali memanggil doktor haiwan untuk menyuntik mereka dengan ubat-ubatan. Dedak juga tidak dilupakan. Kambing-kambing ini suka dedak. Juga garam. Setiap petang, abah bersama motor yang telah dimodified ke sepelusuk kawasan jengka 21 untuk mencari rumput-rumput yang segar. Parang berbentuk sabit seringkali dibawa olehnya bagi memudahkan pencaraian rumput-rumput ini. Seusai Solat Asar sehinggalah 6.30 petang, barulah abah muncul di reban dengan membawa rumput-rumput yang segar. Abah faham sangat kerenah kambingnya, dan tahu sangat rumput yang mana menjadi kegemaran kambingnya. Hebat abahku.

Berkat kerajinan dan kesabaran abah memelihara kambing-kambing ini membuahkan hasil bilamana ada sahaja manusia yang berhajat membeli kambing abah. Ada juga yang membelinya untuk tujuan aqiqah, ada pula dengan tujuan kenduri kahwin. Namun hebatnya perancangan Allah apabila bilamana orang lain membeli kambing abah 4 ekor, maka dalam beberapa minggu kemudian seekor atau 2 ekor kambing akan melahirkan 4 atau 5 ekor kambing yang lain. Subhanaallah.

Oh ya, ada beberapa ekor kambing yang telah diberi nama. Ini semua gara-gara akakku. Ada yang diberi nama Geduk, Tompok, Putih dan lain-lain. Paling manja si Tompok. Kambing betina dan cukup akrab dengan mak. Pantang mak ke reban, pasti dia menggesel-gesel kaki mak. Dan mak sangat sayangkan Tompok walaupun tompok ni tak la secantik mana.

Namun apa yang tidak diingini berlaku. Ada beberapa ekor kambing yang sakit. Bersin. Ada pula yang tidak lalu makan, kurus dan akhirnya mati. Abah cuba mencari punca kenapa berlakunya perkara ini, berikhtiar dan cuba mencari punca. Akhirnya gagal. Kambing abah semakin hari semakin banyak yang mati. Abah berasa hairan kenapa ia boleh terjadi sedangkan setiap bulan ada doktor yang merawat kambing-kambing ini.

Akhirnya abah tahu, ia perbuatan khianat. Ada manusia yang dengki dengan abah. Ada yang mengumpan kambing-kambing ini dengan memberi makan dedaunan yang diracun pada ketika abah tidak ada di reban. Oh manusia durjana, apakah kau berbahagia melakukannya? Syaitan bertopengkan manusia barangkali.

Lalu abah bertindak nekad. Abah khuatir lama kelamaan kambingnya akan mati kesemuanya. Akhirnya, dengan deraian airmata abah terpaksa menjual baki kambing yang masih ada. Setelah berbelas tahun menjaga dengan baik, setelah berbelas ribu dihabiskan untuk memelihara kambing ini, namun perpisahan jua yang berlaku. Kesian abah. Kesian kambing-kambing abah. Dan kesian juga bagi si manusia durjana kerana azab menantinya di neraka.

Sabarlah abahku. Engkau masih memiliki anakmu ini. Dan anakmu ini sayang kepadamu abah.. :)


Nota : Entri Bersih 2.0 Part III akan diupdate nanti. Sabar ya..:)