Geng

Tuesday, July 26, 2011

BERSIH 2.0 Part III

"Mam, ok ke parkir kereta sebelah SMK Cochrane Perdana tu?" Aku bertanya kepada Dhamam sambil memusingkan sedikit kepalaku ke belakang. Jika mengikut perancangan asal, kereta akan diparking di perkarangan Masjid Jamek Alam Shah, namun bilamana kami dimaklumkan pihak polis membuat tinjauan setiap masjid di ibukota membuatkan kami membatalkan perancangan asal itu.

"Inshaallah selamat. Tawakal je bro." Dhamam membalas sambil tersenyum, lantas beliau mengeluarkan DSLR Nikon D90 dari beg galas. Sudah menjadi kebiasaan Dhamam, kemana sahaja beliau pergi, sudah pasti dibawa kamera kesayangannya itu. Minat beliau ini bermula sejak Pilihanraya Kecil Dun Tenang yang lepas. Banyak gambar yang beliau tangkap ketika itu menjadi sebaran rakan-rakan blogger dan rakan-rakan facebook. Terutama gambar Cikgu Mala dan suami yang meredah banjir beramah mesra dengan pengundi. Dan hari ini pula, kamera itu bakal menjadi saksi kisah perjalananku.

Jalan Cochrane menuju ke Jalan Tun Razak


Laluan kiri disebelahku lengang. Namun berbeza pula di laluan yang berasingan. Sesak dengan kenderaan. Masing-masing membunyikan hon. Di lampu isyarat pula kenderaan seolah-olah tidak bergerak. Bertembung dari setiap simpang. Maklumlah simpang empat untuk memasuki Jalan Pasar telah ditutup oleh pihak polis. Bahana polis menutup jalan, akhirnya menyusahkan pihak polis trafik pula yang terpaksa membantu kelancaran lalulintas.

Aku cuma memerhatikan gelagat pemandu. Ada juga satu dua kereta yang tidak sanggup menempuh kesesakan kenderaan di jalanraya, nekad melakukan pusingan-u walaupun disebelah mereka adanya penghadang jalan yang agak tinggi juga.

Kami terus berjalan sehingga berhenti sebentar di Stesen Minyak Petronas yang letaknya di sebelah kanan simpang empat jalan.

Perbincangan


"Macam mana, nak tunggu team lain sampai dulu ke?" Soal aku kepada Dhamam. Dhamam yang diamanahkan menjadi Amir (ketua) kami perlu dirujuk dalam setiap keputusan. Sahabat-sahabat kami yang lain memandang ke arah Dhamam untuk mendengar keputusan dari beliau.

"Awal lagi ni. Baru 9.30 pagi. Takpelah, ana nak tinjau-tinjau sebelah sana dahulu. Nampak macam ada pasar. Nanti kalau nak gerak, ana maklumkan." Jawab Dhamam.

"Ok, set." Jawapan balas dari kami semua.

Beberapa orang sahabat yang lain menuruti Dhamam. Aku pula masih di Stesen Petronas.

"Aduh, sakit perut pula!" Kataku dalam hati. Walhal seusai Solat Subuh tadi sudah ku buang 'kekotoran' bendasing di dalam usus besarku ini. Kini meragam pula. Alhamdulillah, aku masih berada di Stesen Minyak Petronas dan terus menuju ke tandas. Namun perlu mengikut giliran disebabkan sudah ada 'client' di dalamnya. Terima kasih Petronas kerana sudi menjadi sebahagian 'penaja' dalam perjalananku ke Himpunan Bersih 2.0. :)

Bank Rakyat

Seusai melepaskan hajat, aku menghubungi Dhamam. Bertanyakan beliau di mana. Rupa-rupanya, beliau di seberang jalan dan sedang berehat di hadapan Bank Rakyat. "Wah, Bank Rakyat pula yang menjadi 'penaja' ya." Getusku di dalam hati sambil tersenyum sendirian. Sahabat-sahabat yang lain juga telah menuruti Dhamam sewaktu aku melepaskan hajat. Tanpa melengahkan masa, aku terus mendapatkan Dhamam di Bank Rakyat. Dari jauh sudah ku nampak Dhamam sedang bermain-main dengan kameranya. Pantang dilihat sesuatu yang 'bernilai' di sisi matanya, pasti kamera itu akan beraksi.

"Bro, enta tangkap gambar apa tu?" Aku bertanyakan Dhamam sebaik sahaja menghampiri beliau.

"Enta tengok depan tu." Dhamam menjawab sambil jari telunjuknya dihalakan ke bahu jalan di hadapan kami. Rupa-rupanya Dhamam menangkap gambar beberapa orang sahabat kami yang sedang berjalan.

"Gambar ana tak nak tangkap ke?" Soal aku kepada Dhamam berbasa basi.

Dhamam tersenyum, dan mengeluarkan kameranya semula dari beg galas dan mengambil gambarku pula.

"Dah hampir 10.15 pagi ni. Bila kita nak gerak?" Aku terus bertanya kepada Dhamam sebaik sahaja beliau menangkap gambarku.

"Rasanya kita dah boleh gerak sekarang."

"Ok cun. Kita terus ke Stadium Merdeka ke?" Soalan yang cukup wajar kutanyakan kepada Dhamam. Maklumlah, di saat-saat akhir pihak Stadium Merdeka tidak membenarkan pihak Bersih menggunakan stadium. Walhal Perdana Menteri yang kita 'cintai' mencanang kepada semua rakyat Malaysia bebas melakukan demontrasi atau sebarang himpunan di Stadium. Ya, syaratnya buat di stadium. Kini, lain pula bunyinya. Konon Stadium Merdeka tempat 'suci'. Suci sehingga Justin Bieber dibenarkan membuat konsert April 2011 yang lepas. Aku yakin engkau juga arif kronologi kisah Ambiga, Datuk A. Samad Said dan rakan-rakan penggerak Bersih 2.0 mengadap Yang Dipertuan Agong. Keputusan yang dicapai adalah YDP Agong bersetuju jika himpunan di adakan di stadium, dan pihak Bersih 2.0 juga bersetuju dengan saranan YDP Agong. Alih-alih, pihak KERAjaan di bawah pentadbiran Najib Toon Razak, Kementerian Dalam Negeri di bawah Hishamuddin Hussein bertegas akan mengambil tindakan kepada Bersih 2.0 kerana ia pertubuhan haram. Inilah manusia tolol yang menuduh pihak Bersih 2.0 derhaka kepada YDP Agong, walhal merekalah yang derhaka kerana tidak meluluskan permohonan Bersih menggunakan Stadium Merdeka selepas YDP Agong memperkenankan.

Dhamam terdiam seketika lantas menjawab. "Kita jalan-jalan dulu. Kemudian, bila kita nampak ramai orang kat situ, kita berkumpul dengan mereka."

"Ok. Cadangan yang baik tu. Maklumlah polis ada di merata tempat." Sahut salah seorang sahabatku yang lain.

Pasar Pagi

Sedikit demi sedikit kami menghampiri Pasar Baru Pudu. Suasana di pasar sama seperti hari-hari yang lain. Peniaga meneruskan aktiviti niaga mereka, pelanggan pula meneruskan aktiviti tawar menawar dan jual beli mereka. Aku tersenyum melihat keadaan ini. Hairan juga melihat warga kota yang seolah-olah mempersetankan arahan daripada pihak polis yang meminta sekalian warga kota jangan keluar rumah, kononnya ada rusuhan akan berlaku. Itulah kalimat yang sering digunakan oleh si tolol bagi mengelirukan orang ramai. Perkataan RUSUHAN itu akan di ulang-ulang sebanyak mungkin samada di televisyen mahupun di dada-dada akhbar. Mereka seboleh-bolehnya mengharapkan sekalian warga tidak menyebut Demontrasi atau Himpunan. Jika perkataan Demontrasi dan Himpunan di sebut juga, sudah pasti di hujungnya mereka akan selitkan dengan perkataan Haram.

Namun hairan juga bilamana membandingkan layanan pihak polis dan KDN kepada pihak Bersih, Patriot dan juga Perkasa(m). Bersih ditekan saban hari. Bersih dituduh komunis. Bersih dituduh cuba menggulingkan kerajaan. Bersih dituduh itu dan ini. Patriot pula diangkat sebagai hero. Diangkat sebagai wira. Manakala Perkasa(m) di bawah Ibrahim Ali turut sama menunjukkan kejaguhan mereka. Namun yang lucunya, semalam (8 Julai 2011), Ibrahim Ali telah memaklumkan yang Perkasa(m) menghormati keputusan pihak polis yang tidak membenarkan himpunan haram, lantas Ibrahim Ali mengarahkan agar pihak Perkasa(m) ke Tasik Titiwangsa sahaja untuk berjalan-jalan di tepian tasik. Inilah lawak paling kelakar di abad ini. Aku syorkan bilamana pencen dari dunia politik, sila menyertai Raja Lawak kerana lawak anda sangat menghiburkan. :)

"Akhi, cuba tengok buah tu." Dhamam menyapa aku sambil memuncungkan bibirnya.

"Wah, buang mangga la. Warna kuning tu. Mam, enta tengok yang tu pula." Aku pula meminta Dhamam menoleh di belah kiri.

"Jagung. Warna kuning juga." Dhamam menjawab dan mengukir sebuah senyuman.

"Ha, yang tu lagi menarik bro. Kasut Phua Chu Kang. Warna kuning lagi." Ligat mataku mencari objek yang bewarna kuning di pasar pagi ini. Maklumlah, KERAjaan kini cukup 'teruja' dengan warna kuning. Juga begitu teruja dengan perkataan 'Bersih'. Wakil Rakyat yang mengadakan Gotong Royong bersama rakyat dengan tema bersih juga turut ditangkap.

Dhamam hanya tersenyum. Sambil berjalan melalui Pasar ini, kamera beliau terus beraksi. Tiba-tiba kelihatan dihadapan kami seorang ibu muda. Wajahnya tidaklah mirip Melayu, Cina atau India. Ibu Muda ini sedang mendokong anaknya di belakang dengan diikatkan kain di bahunya. Lantas, warna warni warga kota yang sebegini terus dirakamkan oleh Dhamam melalui D90 nya. :)

Bebelan Auntie

"Ini semua salah polis. Tutup jalan sana. Tutup jalan sini. Tak ramai olang datang beli hari ini maa." Marah seorang Auntie berbangsa Cina kepada pelanggannya. Aku dan Dhamam hanya tersenyum mendengar bebelannya.

"Bersih mau berhimpun di stadium, kasi la." Auntie itu terus bersuara.

Kami terus meninggalkan Auntie yang meneruskan bebelannya. Bagus juga ada masyarakat yang prihatin sebegini. Masyarakat yang tahu pokok pangkal kisah. Masyarakat yang tidak 100 peratus bersumberkan bahan berita dari media pengampu kerajaan di televisyen dan akhbar. Inilah majoriti warga kota. Mereka berada dalam dunia realiti. Kos bebanan hidup yang tinggi. Harga barang yang meningkat naik. Tol sana sini. Perkhidmatan kenderaan awam yang menggila di waktu puncak. Maka, tekanan demi tekanan inilah membuatkan mereka semakin matang dan bijak berpolitik.

Kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di Berjaya Times Square.

Berjaya Times Square

"Kalau ikut arahan pimpinan, kita perlu berkumpul jam 2 petang. Sekarang baru 10.40 pagi. Jom kita rehat di Berjaya Times Square dulu la." Dhamam mencadangkan. Lalu, cadangan beliau itu dipersetujui oleh kami semua.


Kami berlegar-legar di Times Square. Ada yang melepaskan hajat di tandas. Ada yang duduk di kerusi yang disediakan. Aku dan Dhamam pula ke kedai kamera. Seronok melihat pelbagai jenis kamera terkini yang menjadi kegilaan jurufoto.

Tiba-tiba, telefon bimbit aku berdering. Ku lihat, sahabat facebook aku yang menalifon. Ali Abu namanya.

"Bro, kau ada kat mana?" terus Ali bertanya.

"Aku di Times Square ni. Lepak sini dulu."

"Dekat dah dengan Lowyat tu. Boleh je kalau kau nak ke sana."

"Wah. Ye ke. Tak perasan pulak aku." Jawabku. Lantas aku terus bertanya kepada Ali. "Kau pula ada kat mana?"

"Aku masjid negara bro. Tak ada seorang pun pimpinan di sini. Aku dah masuk ke dalam masjid. Ada ramai lagi di luar masjid yang tak dapat masuk. Polis halang."

"Polis halang orang masuk masjid? Ini kerja gila bro. Nanti aku cuba tanya pada Ustaz Ridhuan Md Nor siapa pimpinan yang akan ke Masjid Negara. Kalau ada info terkini dari sana kau roger la aku ya."

"Ok bro. Assalammualaikum."

Selang beberapa minit, telefon bimbit aku bergetar. Sudah menjadi tabiat, aku kurang gemar ringtone yang pelbagai samada melalui panggilan atau sms. Aku lebih suka menukar ke mode silent atau virate sahaja. Bila ku lihat skrin telefon bimbitku, 1 mesej telah sampai. Rupa-rupanya mesej dari akak aku, Kak Yan.

"Salam. Kau ada kat mana? Akak tengok Astro Awani ni. Polis maklumkan 200 lebih tangkapan dari pagi tadi. Risau pulak akak."

Lantas aku membalas sms kakakku. "Wslm. Orang ada di Berjaya Times Square ni. Mungkin yang ditangkap tu mereka yang menaiki LRT. Kalau ada apa-apa berita, roger kami terus ya." Kalau bersama adik beradik, aku suka menggelarkan diri sebagai orang ataupun kami. :)

"Ok. Kalau ada apa-apa berita, akak sms k. Jaga diri baik-baik."

"Ok Kak Yan. Terima kasih." Aku membalas sms kakakku. Kali ini beliau benar-benar cemas. Ogos 2009 yang lepas, sewaktu aku menyertai Himpunan Membantah ISA, beliau juga cemas. Tapi kali ini lebih cemas lagi.

Sahabat facebook

Aku perlukan info yang terkni. Nak access internet, laptop aku tak bawa. Telefon bimbitku ini pula tidak ada aplikasi internet. Maklumlah, handset murah. Lalu aku sms sahabat facebookku yang lain pula. Namanya Taca Yunus.

"Salam. Taca, boleh minta tolong tak?" Aku memulakan sms dengan meminta tolong.

Lantas, Taca membalasnya. "Kenapa akhi? Taca ada di Melaka ni dengan keluarga." Akhi ini panggilan sahabat-sahabat facebook kepadaku. Di facebook, aku menggunakan nickname Akhi Fairuz. Ramai dikalangan mereka memanggilku Akhi.

"Macam ni. Akak saya sms tadi maklumkan dah ada beratus-ratus tangkapan dari pagi tadi. Kalau Taca berkesempatan online, boleh tak update saya info-info terkini via sms?" Tanya aku kepada Taca.

1 minit kemudian, Taca membalas smsku. "Ok. Kalau ada apa-apa info Taca akan maklumkan pada Akhi."

"Ok, TQ."

Seusai bersms dengan Taca, aku teringat pula sahabat facebookku yang seorang lagi. Kalau di facebook, nickname yang beliau gunakan adalah Ameno World.

"Salam. Kau ada kat mana sekarang ni?" Aku memulakan sms kepada Ameno. Terdahulu, Ameno memaklumkan kepada aku melalui facebook yang beliau pertama kali menyertai himpunan seperti ini. Jadi, sebagai kawan facebook yang agak rapat juga dengan beliau, ingin juga tahu situasi beliau sekarang ini.

Sms aku tidak terjawab. Mungkin dia sibuk agaknya.

Dhamam masih lagi berpusing-pusing di Kedai Kamera. Sahabat-sahabat yang lain pula ada yang menaiki eskalator meninjau kedai-kedai yang ada. Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Nampaknya, warga Arab lebih ramai dari warga Malaysia di sini. Lelaki-lelaki Arab kebanyakkanya bersama isteri yang berjubah hitam berpurdah dan anak-anak mereka yang masih kecil. Membeli belah di sini. Keadaan seperti ini sering ku lihat di KLCC.

Telefonku bergetar sekali lagi. Mesej baru tiba. Dari Taca.

"Akhi, dari Twitter Bersih, mereka maklumkan pimpinan Pas ada yang dah ditangkap. Hati-hati Akhi. Ada juga yang ditangkap di KL Sentral. Polis menggeledah beg mereka. SMS yang diterima juga polis periksa. Lepas Akhi dapat mesej ni, eloklah Akhi delete."

"Terima kasih Taca untuk info. Sangat-sangat menghargai."

Sebaik sahaja membalas sms Taca, aku terus delete setiap satu sms yang bercerita tentang Bersih. Langkah berjaga-jaga. Biar ditangkap semasa berhimpun dari ditangkap sebelum berhimpun.

Tiba-tiba aku teringat janji aku kepada Ali Abu. Ya, untuk bertanyakan kepada Ustaz Ridhuan Md Noor selaku Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia berkenaan pimpinan yang mengetuai peserta himpunan dari Masjid Negara. Terus saja aku sms Ustaz. Namun sms ku tidak delivered. Mungkin Ustaz mematikan handsetnya.

To Be Continued...